Ahad, 3 Januari 2010

KISAH SEORANG PEJUANG

Bookmark and Share

Membaca buku Kisah Saya Pejuang Islam tulisan Mohamad Mahbub Hussain atau Ed Hussain memberikan kita satu interpretasi betapa kecewanya seorang anak muda yang tertarik dengan pertubuhan Islam akhirnya terpaksa meninggalkannya disebabkan tidak bersetuju dengan kaedah dan falsafah perjuangan.

Ed Hussain merupakan seorang pemuda Britain di mana ayahnya berketurunan India, manakala ibunya berketurunan Bangladesh, mewarisi pendidikan Islam berdasarkan kaedah pendidikan tradisi. Seawal usia kanak-kanak beliau dididik dengan Islam tradisi berdasarkan skop pendidikan melalui bimbingan orang tua dan mendengar ceramah.

Sewaktu berusia 16 tahun (tahun 1991), Ed Hussain mula berjinak-jinak dengan gerakan Islam yang memperjuangkan penegakan sebuah negara yang diperintah berdasarkan politik Islam. Beliau mula tertarik dengan pendekatan sistem pemerintahan berasaskan khalifah yang dianjurkan oleh Maududi melalui penglibatannya dalam Young Muslim Organization (YMO) di masjid London Timur. YMO adalah sayap pemuda Jematul Islami yang dipeloporkan oleh Maududi.

Buku ini merupakan terjemahan dari buku Inggeris, Islamist yang diterbitkan oleh Penguin Books pada tahun 2007 manakala edisi terjemahan bahasa Indonesia diterbitkan oleh Alvabet, 2008 dengan jodol, Matinya Semangat Jihad dan edisi berbahasa Melayu diterbitkan bulan lepas oleh ZI Publications Sdn. Bhd.

Sekurang-kurangnya kita dapat mengenali bahawa Ed Hussain yang kini telah meninggalkan gerakan politik Islam merupakan sosok peribadi yang terumbang-ambing antara pilihan setengah masak di zaman remaja dengan keperluan melanjutkan pendidikan tinggi. Semasa menjelaskan pilihannya, Ed Hussain amat gundah apabila ayahnya pernah menjelaskan bahawa:

Sekiranya ayah tertangkap saya menghidu kokain, ayah akan merujuk kepadanya dulu sebelum memaafkan atau menasihatinya saya. Tetapi saya pasti ayah tidak akan menerima mana-mana pertubuhan yang dianggapnya sebagai musuh Tuhan; para pengikut Mawdudi dan para aktivis di masjid London Timur…Menurut ayah, ia (Jamaatul Islami) sebuah organisasi politik yang mencurigakan, yang menggunakan Islam sebagai alat politik dan merendah-rendahkan ajaran-ajaran Nabi Muhammad.” (hal. 32 -35)

Sebagai seorang anak muda yang mula terpengaruh dengan gerakan politik Islam, Ed Hussain mula mencuri masa meluangkan masa belajar dengan mengunjungi masjid London Timur untuk menyertai YMO. Ia mula meninggalkan masjid Brick Lane yang selama ini menjadi tempat berjemaah dan mendengar ceramah-ceramah agama kerana dianggap bebas daripada pengaruh Islam politik.

Perkenalan Ed Hussain dengan Abdullah Falik menyebabkan mula berjinak-jinak menyusun kegiatan berpersatuan dan meninggalkan pendidikan moden. Melalui Abdullah Falik, Ed Hussain mula diperkenalkan dengan pemimpin-pemimpin YMO dan terpengaruh dengan ideology politik yang berteraskan pendekatan Mawdudi, iaitu menegakkan sebuah negara berasaskan sistem pemerintahan khalifah.

Di Masjid London Timur, Ed Hussain mula menyedari bahawa “Saya tertarik dengan kawasan solat kaum wanita, yang diurus dengan kemas di sebalik tabir di tingkat atas. Di Masjid Brick Lane, kaum wanita tidak dibenarkan memasuki masjid; ia tidak pula menjadi hal di London Timur, yang kelihatan seperti satu kemajuan bagi kewanitaan.” (hal. 37). Perbezaan tanggapan itu merupakan titik yang memulakan langkah Ed Hussain untuk terus meninggalkan kedua orang tuanya berjuang dalam kumpulan aktivis Islam.

Pada mulanya kunjungan ke Masjid London Timur secara curi-curian, akhirnya setelah diterima masuk dan diberikan tanggungjawab mengatur pertemuan dengan lain-lain kumpulan, Ed Hussain mula menjauhkan diri dengan kedua orang tuanya.

Pada bulan Januari 1992, ketika mencecah umur 17 tahun, Ed Hussain mengambil peluang untuk berdamai dengan mengurangkan “penglibatan dengan YMO selama dua bulan” kerana “ingin meraih semula sedikit kehangatan dan cinta lama yang pernah disemai ibu dan ayah.” Tetapi, jiwa muda yang terlalu kuat terpengaruh dengan politik Islam menyebabkan Ed Hussain membuat pilihan meninggalkan keluarga.

Dengan menulis nota perpisahan pada suatu malam dalam musim panas, beliau menyusup keluar dari rumah tanpa bekalan wang dan sehelai sepinggang menuju ke Masjid London Timur.

Pada malam yang sunyi dan kelam saya berjalan di sepanjang Commercial Street menuju ke masjid London Timur…Inilah satu perjalanan yang jauh dan sepi…Anehnya, saya tidak rasa Tuhan berpihak kepada saya. Saya rasa ia adalah pertarungan antara ayah dan saya: saya mesti menang. Mencabar saya bermaksud mencabar gerakan Islam.”(hal. 61)


Selepas beberapa lama dalam gerakan YMO, Ed Hussain mula berjinak-jinak dengan kumpulan Hizbut Tahir dan berusaha menubuhkan cawangan di Whitechappel, dan di samping berusaha melanjutkan pelajaran di peringkat A Level di Newham. Ed Hussain mula mendengar nama Syed Qutb dan semakin menyanjungi perjuangan Ikhwanul Muslimin dengan menyeludup masuk Milestones (Petunjuk Sepanjang Jalan) serta Communist Manifesto.

Buku Milestones dan tafsir al-Quran oleh Syed Qutb menjadi bacaan wajib. Menurut Ed Hussain, “apabila membaca buku Milestones, saya berasa begitu marah kepada orang kafir. Islam sebenar telah dikalahkan oleh para imperialis dan ejen-ejen mereka, iaitu pemimpin-pemimpin dunia Islam. Kami mesti merampas semula kepimpinan negara-negara Islam dan menolak budaya barat…dengan mengisytiharkan jihad Total adalah satu-satunya cara menyingkir presiden-presiden dan putera-putera Arab yang tidak beriman.” (hal. 67)

Buku ini sebenarnya merupakan kritik Ed Hussain terhadap pergerakan Islam yang menyasarkan perjuangan membentuk sebuah negara Islam secara total. Melalui penglibatan seawal usia 16 tahun, Ed Hussain melibatkan diri dalam kegiatan dakwah, menjadi anggota Islam fundamentalis, pengikut Islamist yang ekstrimis dan Islam politik seperti Ihkhwanul Muslimin, Hiz ut-Tahir dan Maat-e-Islami.

Beliau turut terlibat dengan Young Muslim Organization (YMO), Islamic Forum Europe (IFE), Dawatul Islam, Islamic Spciety of Britain (ISB), Islamic Foundation in Leicestetr dan Muslim Council of Britain (MCB). Sepanjang penglibatan itu beliau melihat banyak kesalaha-kesalahan telah berlaku dan akhirnya mengambil keputusan untuk kembali ke pangkal jalan.

Sepanjang penglibatannya, Ed Hussain sentiasa berkonflik dengan dirinya mengenai menjadi seorang Islam yang sebenar dan meneruskan perjuangan Islam politik. Menurut beliau:

Kehidupan saya dipenuhi dengan kemarahan, kekeliruan dalaman, keinginan mendominasi segala-galanya dan kegagalan saya untuk menjadi seorang Islam yang baik. Saya mulakan perjalanan ini kerana ma”mahukan lebih Islam” tetapi berakhir dengan kehilangan inti patinya.” (hal. 200-201)

Setelah berkenalan dengan Faye, Ed Hussain menjadi semakin keliru dengan pilihan perjuangannya. Perkenalan itu akhirnya membawa mereka kehidupan bekeluarga dan meneruskan “pengajian dan mengejar karier masing-masing.” Setelah dibangkitkan dari dalam pasangan tersebut mula mempelajari bahasa Arab agar dapat memahami Islam dengan lebih baik dan meninggalkan pergerakan Hizbut Tahir disifatkan sebagai satu pergerakan yang mengabaikan hubungan keluarga.

Kerana itu, Ed Husain mempersoalkan “Bagaimana orang Hizbi sanggup menyingkirkan ibu bapa mereka dengan begitu mudah? Tidakkah mereka tahu tentang seorang lelaki yang mahu menyertai ekspedisi ketenteraan lalu Nabi berpesan kepadanya bahawa menjaga kedua ibu bapa yang sudah tua adalah lebih penting daripada berjihad? “ (hal. 211)

Membaca buku setebal 390 halaman ini memberikan kita gambaran mengenai sikap dan asas perjuangan kelompok-kelompok yang mengatasnamakan Islam. Kita dapat memahami kenapa adakalanya kelompok-kelompok politik Islam melibatkan diri dalam percaturan ideologi dan tindakan agresif apabila asas perjuangan mereka dicabar atau bertentangan dengan kelompok yang lain. Namun yang lebih penting ialah bagaimana pemikiran Mawdudi, Syed Qutb dan Taqhi Nabhani telah menyebabkan ramai pemuda Islam melihat bahawa mewujudkan sebuah negara Islam total adalah penting walaupun terpaksa dilakukan melalui kekerasan.

Buku ini dikritik hebat oleh penyokong-penyokong Hizbut Tahir kerana dianggap apa yang ditulis Ed Hussain itu merupakan pandangan seorang anak muda yang keliru, berfahaman secular dan penuh kebencian terhadap kelompok Islam politik. Oleh sebab itu Ed Hussain dianggap cuba membuat tuduhan liar terhadap perjuangan Mawdudi, Qutb dan Nabani sebagai ekstrimis dan melampau. Kerana tulisan tersebut jugalah Ed Hussain pernah mengalami ketakutan yang mendalam dan diancam dengan pelbagai ugutan.

Andrew Bosso mengkritik buku tersebut kerana pengarangnya “mempunyai kelemahan pengetahuan teologi dan hukum Islam sebagaimana yang diasaskan oleh para ulamak.” Zainudin Sardar pula menganggap penerbitan buku ini sebagai “to have been drafted by Whitehall mandarin as a PR job for the Blair government” kerana tidak lama selepas meninggalkan gerakan Islam, Ed Hussain bekerja dengan parti buruh pimpinan Tony Blair.

Walau apa pun kritik dan pujian ke atas buku ini, Ed Hussain tetap dianggap sebagai seorang muda yang berani mendedahkan sikap sebenar gerakan Islam dari dalam dan yang lebih penting ialah niat sebenar perjuangan mereka, iaitu menegakkan sebuah negara Islam total dengan apa cara sekalipun. Selagi negara Islam total tidak wujud, maka selama itulah pergerakan Islam akan melancarkan aktiviti jihadnya.

Tetapi, bagaimana bentuk sistem negara Islam total masih belum jelas, sama ada dengan menegakkan sistem berdasarkan khalifah ataupun model Iran? Itulah yang mungkin akan menyebabkan gerakan Islam terkapai-kapai mencari arah.Melalui pendedahan Ed Hussain, sekurang-kurangnya kita dapat memahami bahawa politik ala-Machieveli tetap berlaku dan seolah-olah menjadi mauduk perjuangan mereka. Inilah menyebabkan Ed Hussain kecewa dalam perjalanan jihadnya.

0 comments:

 
Blogger Templates by Wishafriend.com